Khamis, 15 Oktober 2009

SISTEM PENDIDIKAN ISLAM

SISTEM PENDIDIKAN ISLAM UNIK DAN PRAKTIK

RATA-RATA masyarakat manusia hari ini berada dalam keadaan yang mencemaskan. Mereka diseret oleh pelbagai ideologi dan isme tanpa mengetahui haluan hidup sebagai insan di atas muka bumi ini. Mereka telah dijadikan medan atau bahan percubaan oleh pelbagai sistem pendidikan, politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain tanpa menyedari hakikat sebenar kewujudan mereka sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Isra’ ayat 70-72 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan."

“Ingatlah suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil setiap umat manusia dengan pemimpinnya, dan barang siapa yang diberi kita amalannya di tangan kanannya maka mereka akan membaca kitabnya itu dan mereka tidak dianiaya sedikit pun."

“Dan barang siapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).”


CARA ISLAM MENDIDIK MANUSIA

Dalam mendidik manusia, Islam mengambil kira hakikat kejadian manusia yang terdiri daripada jasmani, akal dan jiwa, tanpa mengabaikan sebarang bahagian pun. Dengan itu, Islam mendidik manusia secara menyeluruh - meliputi semua aspek kehidupannya sama ada jasmani, akal dan jiwa atau kehidupan yang bersifat maddi (material) dan maknawi (spiritual).

Pengabaian sebarang bahagian itu dikira menganiayai manusia sendiri dan boleh menyebabkan ketidakseimbangan sifat keinsanannya. Ia juga boleh menjejaskan hakikat sebenar kewujudannya di atas muka bumi. Ini akan menjejaskan taraf ubudiyah (perhambaan) manusia sebagai makhluk pilihan Allah SWT. Firman Allah dalam Surah ar-Rum, ayat 30 yang bermaksud:

“... (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) ad-din yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Di dalam Surah az-Zariyat ayat 56 pula Allah menjelaskan yang bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.”

Islam adalah ad-din Allah SWT yang diturunkan untuk manusia yang dijadikan dengan fitrah-Nya. Dengan perkataan lain, Islam adalah ad-din al-fitrah yang diturunkan untuk kemaslahatan manusia sendiri. Oleh itu, di dalam menangani pendidikan manusia, Islam memberikan hak yang sama rata, adil dan saksama kepada komponen kejadian manusia - jasad, akal dan jiwa. Pendidikan seperti ini tidak ada pada sistem-sistem lain atau agama-agama yang telah diselewengkan oleh pengikut-pengikutnya.

Di kalangan sistem bukan Islam, ada sistem yang mementingkan sesuatu yang bersifat makhsus (boleh dikesan dengan pancaindera). Pada mereka, hanya sesuatu yang dapat dikesan dengan pancaindera bersifat hakiki manakala yang lain adalah tidak penting. Sistem pendidikan ini hanya memberikan perhatian kepada aspek maddi dan makhsus di dalam kehidupan manusia. Jika dimasukkan aspek roh atau jiwa, ia tidak dijadikan sebagai asas, terpisah serta tidak mempunyai pengaruh di dalam kehidupan maddi.

Aqidah pada sistem tersebut, tidak menjadi asas kepada pembangunan maddi dan sesuatu yang bersifat makhsus. Sistem itu membangunkan kehidupan maddi dalam bidang kemasyarakatan, politik, ekonomi dan sebagainya. Pada masa yang sama, manusia yang dilahiran oleh sistem pendidikan itu menghadapi krisis di tengah-tengah pembangunan maddi di atas muka bumi ini. Sebaliknya, jika aqidah menjadi tonggak bagi semua pembangunan dan kegiatan hidup manusia, akan lahirlah kebenaran, keadilan, sifat bertimbang rasa, amanah, berakhlak, berkasih sayang serta saling menghormati antara satu sama lain.

Ada pula sistem yang mementingkan aspek kerohanian semata-mata dan menganggap jasad dan sesuatu berkaitan dengannya sebagai kotor serta tidak harus diberikan perhatian, dipatuhi dan dituruti tuntutan dan kemahuannya. Natijahnya, manusia yang dilahirkan oleh sistem tersebut terpisah daripada pembangunan maddi serta berligar-ligar dengan kehidupan takasuf dan tasawuf mereka. Mereka terpisah daripada hakikat kewujudan insan sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi.

Kedua-dua sistem itu jauh daripada hakikat fitrah insaniyah serta kejadian manusia seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dalam Surah az-Zariyat ayat 56.

Sebaliknya, Islam menghimpunkan aspek makhsus, maddi, kerohanian dan akal secara bersepadu, memberi dan menyahut kehendak masing-masing secara adil dan saksama tanpa menzalimi sebarang aspek pun. Proses pendidikan yang melibatkan ketiga-tiga komponen itu berjalan secara berterusan hingga melahirkan kesedaran bahawa setiap komponen saling memerlukan antara satu sama lain. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya bagi badan kamu ada haknya ke atas kamu.”


PELAKSANAAN IBADAH DAN PENDIDIKAN ISLAM

Meneliti setiap ibadah di dalam Islam, kita akan dapati bahawa instisari pelaksanaannya sebenarnya menterjemah-kan hakikat pendidikan Islam yang bersifat wehdah mutakamilah (bersatu secara bersepadu). Dengan perkataan lain, aspek jasad, akal dan roh bergabung di dalam pelaksanaan sesuatu ibadah. Sebagai contoh, seorang muslim hanya akan mencapai peringkat khusyuk di dalam solatnya apabila berlaku kehadiran hati, persaksian akal dan kepatuhan anggota. Begitu juga dalam pelaksanaan ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji.

Semua memerlukan gabungan seluruh komponen insan muslim untuk membolehkannya mencapai matlamat ubudiyah yang sebenarnya kepada Allah SWT. Hakikat ibadah di dalam Islam tidak akan tercapai tanpa penglibatan ketiga-tiga fakulti insan muslim secara serentak sewaktu pelaksanaan ibadah tersebut. Penglibatan ketiga-tiga komponen itu juga perlu dalam konteks ibadah yang umum dan luas bagi menjayakan setiap amalan dan pekerjaan yang dilakukan iaitu kekuatan fizikal, mental dan spiritual.

Sistem bukan Islam juga menekankan penglibatan ketiga-tiga fakulti insan itu bagi menjayakan sebarang kegiatan. Bagaimanapun ia berbeza daripada Islam kerana dalam sistem itu, pembangunan aspek kerohanian tidak didasarkan kepada hakikat tauhid dan keyakinan kepada Allah SWT.


PEMBABITAN TIGA FAKULTI INSAN DALAM PEKERJAAN HARIAN

Seorang muslim atau muslimah, sewaktu melakukan sesuatu pekerjaan dengan menggunakan tenaga fizikalnya, sebenarnya tidak pernah terpisah daripada akal dan roh. Ketika jasad menikmati makanan, minuman mahupun melayani syahwatnya, pendidikan Islam tetap memainkan peranan iaitu menuntut setiap muslim mengingati dan menyebut nama Allah serta berdoa kepada-Nya.

Mengenai syahwat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kemaluan kamu ada pahalanya. Mereka berkata: 'Wahai

Rasulullah, apakah jika seorang daripada kami mendatangi syahwatnya akan mendapat pahala? ' Rasulullah bersabda: Tahukah kamu kalau ia diletakkan pada benda yang haram ia mendapat dosa? Begitu juga jika ia diletakkan pada yang halal, maka ia mendapat pahala.”

Islam mendidik jasad, akal dan roh manusia secara bersepadu, terikat antara satu dengan yang lain sejajar dengan kedudukannya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Tidak pernah terpisah antara satu aspek dengan yang lain. Natijahnya lahirlah insan saleh yang memakmurkan bumi ini serta melaksanakan hakikat pembangunan yang sebenarnya di dalam kehidupan manusia.

Seorang muslim dikira mengingkari nikmat Allah jika ia tidak menggunakan kemampuan jasad, akal dan rohnya untuk memakmurkan alam ini dengan cara menyingkap rahsia alam, mengenal pasti rezeki Allah yang sungguh luas di muka bumi ini dan mempergunakannya bagi membangun dan memajukan kehidupan manusia.

Seorang muslim juga dikira mengingkari nikmat Allah sekiranya ia tidak menggunakan rohaninya bagi mengenal Allah, berhubung dan beriman dengan Allah, memohon kekuatan daripada-Nya, menerima petunjuk-Nya dan beramal atau bekerja mengikut petunjuk tersebut bagi membangunkan kehidupan rohaninya di samping melatih dirinya supaya gemar kepada kebaikan, kasih sayang, merasai persaudaraan serta mensyukuri nikmat kebendaan yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya dengan membelanjakannya pada jalan Allah dan berihsan kepada mereka yang susah dan menderita.

Dia juga dikira mengingkari nikmat Allah sekiranya tidak menggunakan kekuatan akalnya untuk mengenal pasti rahsia-rahsia alam dan sunnahnya, untuk mengetahui sunnah Allah yang terdapat dalam alam maddi (kebendaan) dan kehidupan manusia serta menggunakannya untuk menyusun kehidupan manusia, membetulkannya dan berjalan mengikut sistem yang lurus.


PENDIDIKAN ISLAM MELAHIRKAN KESEIMBANGAN

Keseimbangan antara ketiga-tiga aspek itu (roh, akal dan jasmani) merupakan sifat insan saleh. Keseimbangan itu akan melahirkan insan yang sempurna sifat kemanusiaannya, melahirkan keseimbangan dari segi keimanan kepada alam yang wujud dan alam yang ghaib. Keseimbangan itu juga akan melahirkan keseimbangan dalam kehidupan sama ada dari segi politik, ekonomi, kemasyarakatan dan semua kegiatan hidupnya. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud:

“Dan begitulah Kami menjadikan kamu (umat Muhammad SAW) ummah yang adil (pilihan) agar kamu menjadi saksi di akhirat kelak ke atas umat yang lain dan Rasulullah SAW menjadi saksi ke atas kamu.”

Keistimewaan sistem pendidikan Islam ialah kemampuannya untuk melahirkan insan saleh yang memiliki sifat-sifat ijabiah (positif) yang menguasai setiap tindakannya di dalam kehidupan di muka bumi ini. Namun, tidak dinafikan sifat-sifat salbiyah (negatif) seorang muslim sering cuba mempengaruhinya. Bagaimanapun, hasil pendidikan Islam yang bersepadu meliputi ketiga-tiga komponen di atas menjadikannya mampu bertindak positif atau menghasilkan tindakan yang positif di dalam semua keadaan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sungguh menghairankan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaan baik baginya. Tidak ada (keadaan itu) pada orang lain kecuali pada orang mukmin. Jika ia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur kepada Allah SWT, maka yang demikian itu adalah baik baginya. Jika ditimpa kesusahan dia bersabar, maka yang demikian itu adalah baginya.”

Manusia adalah makhluk yang mempunyai pelbagai persediaan. Ada yang bersifat positif dan ada pula yang bersifat negatif. Sekiranya persediaan tersebut dibiarkan tanpa kawalan, bimbingan dan didikan yang mengambil kira ketiga-tiga aspek keinsanan itu, maka natijahnya akan berlakulah ketidakseimbangan dan akan lahirlah sifat-sifat yang kadangkala positif dan kadangkala negatif. Dengan perkataan lain lahir sikap ‘double standard’ dalam tindakannya.

Dalam sistem pendidikan Islam, makhluk insan mempunyai jisim dan roh, hati dan akal, perasaan dan jasad. Seseorang muslim tidak akan berjaya, merasai bahagia dan tidak membangun secara adil dan saksama melainkan setelah semua unsur diberi hak pendidikan yang sama rata dan adil pula.


SISTEM PENDIDIKAN ISLAM: REALITI DAN CONTOH

Islam memahami realiti (waqi’i) manusia. Islam memahami batas-batas kemampuan, kehendak dan keperluan manusia. Islam memberi hak yang saksama dan kadar yang adil bagi semua keperluan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud:

“Allah tidak mentaklifkan pada diri seseorang melainkan dengan kadar kemampuannya.”

Pendidikan bukan Islam hanya mengetengahkan pandangan, pendapat, idea atau teori yang menambahkan perbendaharaan ilmu pengetahuan semata-mata, sebaliknya sistem pendidikan Islam adalah satu sistem mithali (contoh) dan waqi’i. Rasulullah SAW adalah mithali yang waqi’i (contoh yang praktikal). Apabila kita mengatakan bahawa al-Quran al-Karim adalah dustur (perlembagaan) hidup Muslim, kita dapati sifat-sifat yang disebutkan oleh al-Quranul al-Karim terserlah pada peribadi Rasulullah SAW. Ini dijelaskan sendiri oleh isteri baginda, Saidatina Aishah RA., ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW dengan katanya, “Akhlak baginda ialah Al-Quran.”

Baginda Rasulullah SAW menjadi ikutan umat Islam dalam semua perkara. Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud:

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah SAW itu contoh yang baik.”

Ketika hayat Rasulullah SAW ada segolongan orang Islam yang ingin meningkatkan ibadah kepada Allah SWT ke tahap yang tinggi kerana merasai ibadat mereka sangat kurang berbanding ibadat Rasulullah SAW.

“Daripada Anas RA, katanya: Telah datang tiga orang sahabat di rumah isteri-isteri Rasulullah SAW. Mereka bertanya tentang ibadah Rasulullah SAW. Apabila diberitahu mereka berasa ibadah mereka terlalu sedikit berbanding dengan ibadah Rasulullah SAW.

Lagipun Rasulullah SAW diampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang. Salah seorang daripada mereka berkata:
‘Saya akan melakukan solat pada waktu malam selama-lamanya.
’ Berkata seorang lagi: ‘Saya akan berpuasa sepanjang masa tanpa berbuka.
’ Berkata seorang lagi: Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.’ Maka Rasulullah SAW datang menemui mereka dan bersabda: ‘Kamukah yang berkata demikian dan demikian? Demi Allah sesungguhnya akulah orang yang paling takut kepada Alah SWT dan paling bertaqwa kepada-Nya tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku bangun bersolat dan aku tidur, dan aku berkahwin dengan wanita. BaranGsiapa yang tidak suka dengan sunnahku, dia bukan daripada golonganku.”


SUMBER PENDIDIKAN ISLAM

Generasi para sahabat adalah generasi yang dilahirkan melalui tarbiyah (pendidikan) yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW bersumberkan wahyu Allah SWT semata-mata iaitu al-Quranul al-Karim. Rasulullah SAW tidak mahu dan tidak pernah mencampur-adukkan sumber pendidikannya dengan yang lain. Suatu ketika Rasulullah nampak Umar al-Khattab memegang beberapa naskhah kitab Taurat. Baginda melahirkan rasa tidak senangnya terhadap tindakan Umar itu lalu bersabda:

“Demi Allah, jika Musa hidup dikalangan kamu sekarang, ia mesti mengikutku.”

Meyakini sumber al-Quranul al-karim dan berasa cukup dengannya semata-mata sebagai sumber pendidikan itulah yang melahirkan satu generasi yang unik penuh dengan keagungan dan kebaikan sehingga generasi itu mendapat pujian Allah SWT seperti yang diungkapkan di dalam ayat yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan untuk manusia.” (ali-Imran: 110)

“Dan begitulah Kami menjadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul itu menjadi saksi atas kamu.” (al-Baqarah: 142)

Jika keyakinan baginda kepada sumber tersebut lemah sudah tentu keunikan peribadi yang dibentuk juga menjadi lemah berbanding umat lain.


PERLU KEMBALI KEPADA PENDIDIKAN YANG HAKIKI

Masyarakat manusia hari ini menghadapi berbagai-bagai masalah dan jenayah yang sukar diatasi. Pelbagai teori dan formula diketengahkan bagi menyelesaikan masalah tersebut tetapi tiada suatu teori dan formula yang berjaya menyelesaikannya, sebaliknya keadaan semakin membimbangkan dan masyarakat kian takut menghadapi ancaman masalah yang kian meningkat. Pelbagai penyelidikan telah dijalankan dengan kos yang besar tetapi tidak juga mencapai kejayaan yang diharapkan. Yang sedihnya masyarakat orang-orang Islam juga terikut-ikut dengan cara yang dilakukan oleh orang lain. Kebanyakan mereka membelakangkan formula Islam yang pernah dijalankan oleh Rasulullah SAW dalam menyelesaikan masalah. Padahal, kaedah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW telah terbukti berjaya melahirkan umat contoh yang tidak ada tolok bandingnya di dalam sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang dan mungkin ke akhir zaman.

Bagi orang-orang Islam, prasyarat yang ada perlu bagi menyelesaikan masalah yang kian rumit ini ialah membuka hati nurani mereka untuk meyakini Islam sebagai ad-din yang lengkap dan meyakini hanya sistem pendidikan Islam sahaja mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dunia. Kita perlu membina keyakinan ini, bukan kerana taksub kepada Islam semata-mata, sebaliknya berdasarkan kenyataan sejarah yang mempersaksikan kejayaan Muhammad SAW membentuk umat terpilih di tengah-tengah kekusutan masalah yang dihadapi oleh masyarakat manusia ketika itu sehingga dapat melahirkan umat yang mendapat pujian dan jolokan al-Quran al-karim sebagai: “Kamu adalah sebaik-baik umat dikeluarkan oleh manusia.”

Kita perlu meyakini al-Quran al-Karim sebagai sumber pendidikan kerana ia diturunkan untuk mendidik umat manusia, membentuk masyarakat dan menegakkan peraturan di tengah-tengah masyarakat manusia. Kita perlu melalui proses pendidikan yang berpanjangan supaya hati kita dididik sehingga dapat menjiwai wahyu Allah SWT serta menghayatinya dalam realiti kehidupan.

Pendidikan Islam memerlukan masa yang cukup panjang kerana jiwa manusia tidak boleh berubah sepenuhnya di dalam masa yang pendek untuk bertafa’ul (berinteraksi) dengan manhaj Ilahi yang menjadi induk kepada sistem pendidikan Islam yang syamil dan kamil. Inilah rahsia al-Quranul Karim diturunkan oleh Allah SWT secara beransur-ansur (munajjaman) selama kita-kira 23 tahun.

Pengikut

Template by : kendhin x-template.blogspot.com