Ahad, 14 Februari 2010

Tiga kategori manusia

Mujahid Fathi Yakan di dalam kitabnya, Maza Ya’ni Intima-i Li al-Islam, telah menyatakan bahwa di dunia terdapat tiga katagori manusia.

Kategori Pertama

Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran:
“Dan tentu akan mereka katakan: “Hidup hanyalah  kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi ” .- Surah al-An’am: ayat 29
“Dan mereka berkata: “Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja,  kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah mempersendakan sahaja.”
- Al Jatsiyah: ayat 24

Kategori Kedua

Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang-ambing, aqidahnya telah celaru , mereka melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah SWT dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah SWT dan Hari Kiamat  tetapi aqidah mereka hanyalah gambaran semata-mata yang terputus hubungan dengan aktiviti  harian atau amalan hidup mereka. Mereka itu pada hakikatnya berfahaman materialistik walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian.

Kategori Ketiga

Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat atau memungut hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah SWT. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia berbanding dengan Hari Akhirat. Allah SWT membandingkan mereka seperti dalam FirmanNya:
“Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada permainan  dan bersenda gurau semuanya. Dan sungguhnya kehidupan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya.”- Surah al-An’am: ayat 32
Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaanNya. Seluruh bidang hidupnya  (ilmu, perniagaan,pekerjaan,  kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan kepada jalan Allah SWT , tidak ada sesaat pun untuk berpesta  maksiat  dengan kemudahan yang Allah berikan termasuk semua pancaindera yang ada pada kita.adalah milik Allah SWT.

10 sikap buruk manusia yang dicela Allah

SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian.
Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

1. Gelojoh ketika makan

Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak bercakap

llah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah

Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki

Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: ‘Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat Muslim).

5. Kedekut

Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan ke jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia

Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.”
(riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong

Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri

Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak

Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar.

Pengikut

Template by : kendhin x-template.blogspot.com